Senaman boleh membantu banyak masalah bahu, tetapi jenis dan beban perlu sesuai. Bahu yang sangat kaku memerlukan pendekatan berbeza daripada tendon yang sensitif selepas bersukan.
Untuk dibincangkan semasa pemeriksaan
Kemungkinan diagnosis
Antara keadaan yang boleh dipertimbangkan berdasarkan simptom ialah:
- Tendinopati rotator cuff
- Frozen shoulder
- Ketidakstabilan bahu
- Pemulihan selepas terseliuh bahu
Punca yang biasa
- Latihan terlalu berat atau terlalu cepat.
- Julat pergerakan belum mencukupi.
- Otot rotator cuff dan belikat lemah.
- Teknik latihan tidak sesuai dengan keadaan semasa.
Apa yang boleh anda lakukan dahulu?
- Kurangkan sementara kerja berulang di atas paras bahu.
- Sokong lengan dengan bantal ketika tidur jika lebih selesa.
- Kekalkan gerakan ringan tanpa memaksa sakit yang kuat.
- Pantau sama ada tangan menjadi kebas atau lemah.
Bila perlu mendapatkan rawatan segera?
Dapatkan rawatan segera jika bahu berubah bentuk selepas jatuh, tangan tiba-tiba sangat lemah, atau sakit bahu datang bersama sakit dada dan sesak nafas.
Bagaimana fisioterapi boleh membantu?
Penilaian biasanya melibatkan julat pergerakan, kekuatan rotator cuff, leher dan kawalan belikat. Pelan latihan disesuaikan dengan kerja dan aktiviti harian anda.
Di Jom Physio, penilaian dibuat berdasarkan simptom, pergerakan dan aktiviti yang penting kepada anda. Rawatan sebenar bergantung pada dapatan pemeriksaan.
Senaman sakit bahu peringkat 1: gerak tanpa memaksa
Peringkat ini untuk bahu yang sakit dan kaku, termasuk awal frozen shoulder. Tujuannya mengekalkan pergerakan, bukan mengejar sakit. Buat 2 hingga 3 kali sehari. Sebelum mula, tuam suam pada bahu selama 10 minit atau mandi air suam boleh membuat otot lebih mudah bergerak.
- Ayunan bandul: bongkok sedikit, tangan yang sihat di atas meja, biarkan lengan yang sakit tergantung dan ayun dalam bulatan kecil selama 30 saat.
- Gelongsor di atas meja: duduk, letak tangan di atas tuala di meja, gelongsorkan ke hadapan sejauh yang selesa, tahan 5 saat, ulang 10 kali.
- Jari memanjat dinding: hadap dinding, "jalankan" jari ke atas perlahan-lahan, kemudian turun. Ulang 10 kali.
- Tuala di belakang badan: pegang tuala dengan dua tangan di belakang, tangan yang sihat menarik tangan yang sakit ke atas perlahan. Tahan 10 saat, 5 kali.
Peringkat 2: senaman menguatkan bahu (rotator cuff dan belikat)
Bila pergerakan sudah lebih baik dan sakit berkurang, kekuatan perlu dibina semula supaya sakit tidak berulang. Mulakan sekali sehari, 2 set 10 ulangan.
- Tekan dinding ke luar: siku dibengkokkan, belakang tangan menekan dinding di sisi badan. Tahan 10 saat tanpa bergerak.
- Putar lengan dengan getah senaman: siku rapat di pinggang, tarik getah ke luar perlahan dan kembali.
- Tarik belikat (row): getah diikat pada pintu, tarik ke belakang sambil merapatkan belikat.
- Tolak dinding (wall push-up): berdiri hadap dinding, bengkokkan siku dan tolak semula, 10 kali.
Getah senaman boleh dibeli di kedai sukan. Jika belum ada, botol air kecil atau tuala boleh digunakan untuk permulaan. Gerak perlahan, terutama semasa menurunkan lengan, kerana fasa ini paling banyak melatih tendon. Bagi penoreh, petani dan pekerja yang banyak mengangkat tangan, senaman peringkat 2 ini penting sebelum kembali ke kerja penuh.
Untuk bahu yang sakit bila diangkat, baca juga bahu sakit bila angkat tangan. Frozen shoulder pula ada peringkat sendiri: lihat peringkat frozen shoulder.
Bila senaman bahu patut dihentikan atau diubah
- Sakit ringan semasa senaman yang hilang sebelum esok pagi biasanya boleh diterima.
- Jika bahu lebih sakit atau lebih kaku pada keesokan harinya, kurangkan ulangan atau julat.
- Berhenti dan dapatkan penilaian jika muncul kebas, tangan lemah, atau sakit malam semakin teruk.
Bila perlu ke hospital: bahu berubah bentuk atau tidak boleh digerakkan langsung selepas jatuh, sendi panas, merah dan bengkak bersama demam, atau sakit bahu yang datang bersama sakit dada dan sesak nafas. Ini bukan masa untuk senaman di rumah.
Fisioterapis di Jom Physio akan memilih senaman ikut keadaan bahu anda dan menaikkan beban secara berperingkat. Di Pasir Puteh, senaman boleh digabungkan dengan laser HILT atau SIS; pesakit Kota Bharu boleh membuat sesi senaman dan terapi manual ikut temujanji di Klinik Etika. Ramai juga pesakit dari Besut dan Jerteh yang datang untuk program bahu. Lihat rawatan frozen shoulder.
Soalan lazim
Berapa kali sehari perlu buat senaman bahu?
Senaman pergerakan untuk bahu yang kaku boleh dibuat 2 hingga 3 kali sehari dalam sesi pendek. Senaman menguatkan pula cukup sekali sehari atau selang sehari, supaya otot sempat pulih. Konsisten setiap hari lebih penting daripada membuat banyak ulangan dalam satu masa.
Senaman bahu beku sama dengan senaman sakit tendon bahu?
Tidak sama sepenuhnya. Bahu beku (frozen shoulder) memerlukan fokus pada regangan dan pergerakan yang perlahan mengikut peringkat. Sakit tendon pula lebih memerlukan senaman menguatkan yang dinaikkan secara berperingkat. Kedua-duanya boleh berlaku pada bahu yang sama, jadi penilaian membantu memilih jenis senaman yang betul untuk peringkat anda.
Boleh angkat berat bila bahu sakit?
Elakkan mengangkat berat di atas paras kepala semasa bahu masih sakit. Mengangkat barang ringan dekat dengan badan biasanya boleh diteruskan jika tidak menambah sakit. Beban dinaikkan semula secara berperingkat apabila kekuatan bahu bertambah dan sakit sudah berkurang. Fisioterapis boleh membantu merancang bila dan bagaimana kembali ke kerja berat.
Ada sesi senaman bahu di Kota Bharu?
Ada. Sesi penilaian, terapi manual dan senaman ada ikut temujanji di Klinik Etika, Jalan Dusun Muda, Kota Bharu. Rawatan mesin seperti laser HILT, SIS dan shockwave hanya ada di Jom Physio Pasir Puteh, yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10.30 malam. Hubungi WhatsApp 012-656 9143 untuk menempah.
Langkah seterusnya
Untuk penilaian dan rawatan, lihat rawatan sakit bahu dan leher. Baca juga Sakit Urat Belikat Kanan atau Kiri: Otot, Saraf Leher, atau Tanda Bahaya? dan Sakit Bahu Kanan dan Kiri: Apakah Puncanya?. Lokasi: frozen shoulder Kota Bharu, fisioterapi Pasir Puteh (pusat utama, ada SIS dan laser), fisioterapi untuk pesakit dari Jerteh.