Plantar fasciitis ialah punca sakit tumit paling biasa, dan ramai yang dirawat untuknya. Tetapi ada sebahagian pesakit yang tidak berubah walaupun sudah memakai kasut empuk dan membuat regangan. Bila kami periksa semula, ada yang sebenarnya mempunyai masalah saraf: saraf tibial yang tertekan di buku lali, dipanggil tarsal tunnel syndrome.
Ringkasan
Ringkasan
Petunjuk untuk membezakan punca menyucuk di tapak kaki:
- Plantar fasciitis: sakit tajam di bawah tumit, paling teruk langkah pertama waktu pagi
- Tarsal tunnel: terbakar, kebas atau semut-semut di tapak, bertambah bila berdiri atau berjalan lama
- Morton's neuroma: menyucuk antara jari ketiga dan keempat, rasa seperti batu dalam kasut
- Neuropati: kedua-dua tapak kaki kebas atau terbakar, bermula di hujung jari
Plantar fasciitis: sakit tumit klasik
Plantar fascia ialah tisu tebal yang menghubungkan tumit ke jari kaki. Apabila ia meradang, sakit dirasa di bawah tumit. Ciri yang paling jelas: langkah pertama selepas bangun tidur atau selepas duduk lama paling sakit, kemudian berkurangan sedikit selepas berjalan beberapa minit. Rasa ini sering digambarkan sebagai menyucuk atau seperti memijak paku. Ia sakit, tetapi biasanya tiada kebas atau semut-semut.
Baca lebih lanjut: sakit tapak kaki bila berjalan.
Tarsal tunnel syndrome: bila puncanya saraf
Di bahagian dalam buku lali, di belakang tulang yang menonjol, ada terowong sempit yang dipanggil terowong tarsal. Saraf tibial melalui terowong ini sebelum masuk ke tapak kaki. Jika terowong ini sempit atau ada sesuatu yang menekan saraf, simptom saraf muncul di tapak kaki. Keadaan ini sering dibandingkan dengan carpal tunnel di pergelangan tangan, tetapi ia jauh kurang biasa.
Ciri-ciri tarsal tunnel
- Rasa terbakar, kebas (serbe), semut-semut atau menyucuk di tapak kaki, kadang-kadang hingga ke jari.
- Sakit atau rasa tidak selesa di bahagian dalam buku lali.
- Bertambah selepas berdiri atau berjalan lama, dan kadang-kadang waktu malam.
- Mengetuk perlahan di belakang tulang buku lali dalam boleh mencetuskan rasa renjatan ke tapak kaki.
Punca yang mungkin
- Buku lali yang pernah terseliuh teruk atau patah. Baca: buku lali terseliuh.
- Kaki leper yang menyebabkan tumit condong ke dalam dan menegangkan saraf.
- Bengkak di sekitar buku lali, contohnya kerana radang tendon atau urat darah yang membesar.
- Ketulan seperti ganglion yang menekan saraf. Ini perlu dikenal pasti dengan pengimejan.
Punca lain menyucuk di tapak kaki
Morton's neuroma
Saraf di antara jari ketiga dan keempat menebal. Menurut NHS, ia menyebabkan sakit menyucuk, tajam atau terbakar di antara jari tersebut, dan rasa seperti ada batu kecil di bawah kaki. Kasut sempit dan kasut tumit tinggi memburukkannya.
Neuropati
Jika kedua-dua tapak kaki kebas atau terbakar, terutamanya bermula di hujung jari, punca lebih mungkin neuropati, contohnya akibat kencing manis. Baca: kaki kebas dan menyucuk.
Saraf dari pinggang
Akar saraf S1 di pinggang membekalkan rasa kepada tapak dan sisi luar kaki. Jika menyucuk di tapak kaki datang bersama sakit pinggang atau sakit yang turun di belakang kaki, pinggang perlu diperiksa juga. Baca: rawatan sciatica.
Bagaimana kami membezakannya
- Sejarah dan peta simptom — di mana sakit, adakah ada kebas, bila paling teruk.
- Pemeriksaan — tekanan pada tumit, ujian ketukan pada saraf di buku lali, kekuatan otot dan rasa sentuhan.
- Scan ultrasound — untuk melihat ketebalan plantar fascia, dan struktur di sekitar terowong tarsal.
- Rujukan — untuk ujian konduksi saraf atau MRI di hospital jika diperlukan. Jom Physio tiada MRI.
Apa boleh dibuat di rumah
- Regangan betis — berdiri menghadap dinding, kaki yang sakit di belakang, tumit kekal di lantai. Tahan 30 saat, ulang 3 kali, 2 hingga 3 kali sehari.
- Regang tapak kaki sebelum turun dari katil — tarik jari kaki ke arah badan dengan tangan selama 30 saat.
- Kurangkan berdiri lama di permukaan keras seperti lantai simen atau jubin.
- Jangan berjalan berkaki ayam di rumah jika tumit sakit; pakai selipar yang empuk.
- Pilih kasut yang sesuai — tapak empuk, ada sokongan lengkung, bahagian hadapan cukup luas untuk jari bergerak. Kasut sempit memburukkan Morton's neuroma.
- Jaga berat badan, kerana berat badan berlebihan menambah beban pada tapak kaki setiap langkah.
Jika rasa terbakar atau kebas tidak berubah selepas 2 hingga 3 minggu, atau bertambah teruk, jangan teruskan regangan sahaja. Corak itu lebih kepada saraf dan perlu dinilai.
Kadang-kadang lebih daripada satu masalah wujud serentak. Contohnya, pesakit kencing manis yang mempunyai neuropati juga boleh mendapat plantar fasciitis. Sebab itu rawatan yang tidak memberi perubahan selepas beberapa minggu perlu dinilai semula, bukan sekadar diteruskan.
Rawatan
Untuk plantar fasciitis: regangan betis dan tapak kaki, kasut yang menyokong, kurangkan berdiri lama di permukaan keras, dan rawatan shockwave untuk kes yang berpanjangan.
Plantar fasciitis biasanya mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya, walaupun dengan rawatan. Konsisten dengan regangan dan kasut yang sesuai sama penting dengan rawatan di klinik.
Untuk Morton's neuroma: kasut yang lebih luas di bahagian jari, pad kecil di bawah tapak kaki hadapan, dan kurangkan kasut tumit tinggi. Kes yang berterusan dirujuk kepada pakar.
Untuk tarsal tunnel: kurangkan tekanan pada saraf dengan sokongan lengkung kaki (insole) jika kaki leper, senaman gelongsor saraf, terapi manual, dan laser HILT untuk mengurangkan radang. Shockwave tidak digunakan terus pada saraf yang tertekan. Kes yang tidak berubah, atau ada ketulan yang menekan saraf, dirujuk kepada pakar ortopedik.
Semua rawatan mesin dibuat di klinik Pasir Puteh, yang mudah dicapai dari Bachok dan Machang. Lihat juga fisioterapi untuk penduduk Bachok, harga dan pakej, atau semua artikel di pusat maklumat kebas dan saraf.
Sciatica & piriformis: rawatan Super Inductive System
Sakit menjalar dari pinggang ke kaki, kebas dan sakit bila duduk lama boleh jadi sciatica atau piriformis syndrome. Super Inductive System di Jom Physio membantu mengurangkan sakit dan kebas, melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot.
Tanya tentang rawatan iniMaklumat pendidikan umum — tidak menggantikan pemeriksaan doktor atau fisioterapis. Hasil rawatan setiap individu berbeza.