Ramai pesakit dari Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu bertanya soalan yang sama: sakit ini otot biasa, atau saraf yang terhimpit? Artikel ini menyenaraikan 7 tanda yang paling biasa, tanda yang perlu ke hospital, dan pilihan rawatan tanpa pembedahan yang disokong garis panduan perubatan.
Ringkasan
Ringkasan
Perkara utama tentang saraf terhimpit tulang belakang:
- Saraf di leher memberi kesan ke bahu, lengan dan tangan; saraf di pinggang memberi kesan ke pinggul, peha dan kaki
- Tanda utama: sakit menjalar, kebas, menyucuk, rasa terbakar dan otot lemah
- Kebanyakan kes bertambah baik dalam beberapa minggu hingga beberapa bulan tanpa pembedahan
- Kebas di kawasan kemaluan atau masalah kencing dan berak perlu ke hospital segera
Apa maksud saraf terhimpit tulang belakang?
Tulang belakang melindungi saraf tunjang. Di setiap ruas, saraf keluar melalui lubang kecil menuju ke tangan atau kaki. Saraf ini boleh tertekan atau meradang apabila cakera (disc) membonjol, apabila tulang dan sendi kecil menebal kerana usia, atau apabila ruang saluran saraf menjadi sempit. Hasilnya, saraf menghantar isyarat yang 'salah': sakit, kebas atau lemah di kawasan yang jauh daripada tulang belakang itu sendiri.
Itulah sebabnya saraf terhimpit di pinggang boleh terasa di betis, dan saraf terhimpit di leher boleh terasa di jari. Jika saraf utama kaki yang terlibat, ia dipanggil sciatica.
7 tanda saraf terhimpit tulang belakang
- Sakit menjalar. Sakit bermula di pinggang lalu turun ke belakang peha dan betis, atau bermula di leher lalu turun ke bahu dan lengan. Selalunya pada sebelah badan sahaja.
- Kebas (serbe). Sebahagian kaki, tapak kaki, tangan atau jari terasa tebal dan kurang rasa. Kebas ini mengikut 'laluan' saraf, bukan seluruh anggota.
- Rasa menyucuk atau seperti semut berjalan. Pesakit menggambarkannya sebagai jarum halus atau rasa 'berlistrik'.
- Sakit tajam atau rasa terbakar. Berbeza dengan lenguh otot yang tumpul, sakit saraf lebih tajam dan kadang-kadang datang tiba-tiba.
- Otot lemah. Kaki terasa terseret, susah berdiri atas tumit atau jari kaki, atau tangan lemah menggenggam dan barang mudah terlepas.
- Bertambah teruk bila batuk, bersin atau membongkok. Tekanan dalam tulang belakang meningkat dan saraf yang sudah meradang bertindak balas.
- Sakit kaki atau tangan lebih teruk daripada sakit pinggang atau leher. Ini tanda klasik saraf terlibat, bukan otot semata-mata.
Satu atau dua tanda sahaja tidak bermakna anda pasti ada saraf terhimpit. Lenguh otot biasa juga boleh terasa di peha. Penilaian oleh doktor atau fisioterapis membantu membezakannya.
Saraf terhimpit di leher berbanding di pinggang
Di leher
Sakit bermula di leher atau belikat dan turun ke bahu, lengan dan jari. Kebas selalunya pada jari tertentu, contohnya ibu jari dan jari telunjuk, atau jari manis dan kelingking. Sakit sering bertambah bila mendongak atau menoleh ke sebelah yang sakit. Ramai yang menyangka ia masalah tangan seperti carpal tunnel. Baca: saraf terhimpit di leher.
Di pinggang
Sakit bermula di pinggang atau pinggul dan turun ke belakang peha, betis atau tapak kaki. Duduk lama, memandu dari Kota Bharu ke Kuala Krai, atau membongkok di kebun boleh mencetuskannya. Ada pesakit yang hanya rasa kebas di tapak kaki tanpa sakit pinggang langsung.
Perkara kecil yang membantu setiap hari
- Bangun dan berjalan seketika setiap 30 hingga 45 minit jika kerja anda banyak duduk.
- Bila mengangkat, bawa barang rapat ke badan dan elak memusing pinggang.
- Letak skrin telefon pada paras mata supaya leher tidak menunduk lama.
- Tidur dengan bantal yang menyokong leher, dan bantal di antara lutut jika berbaring mengiring.
Tanda bahaya: pergi ke hospital segera
Dalam kes yang jarang, saraf di hujung tulang belakang tertekan dengan teruk. Pergi ke jabatan kecemasan dengan segera, dan jangan memandu sendiri, jika anda mengalami:
- Sakit atau kebas pada kedua-dua kaki, atau kaki semakin lemah dengan cepat
- Kebas di kawasan kemaluan atau dubur
- Susah mula kencing, tidak boleh kencing, atau tidak dapat mengawal kencing atau berak
- Sakit bermula selepas kemalangan serius
Bagaimana saraf terhimpit dinilai
Di Jom Physio, penilaian dibuat oleh doktor dan fisioterapis. Kami menyemak arah sakit, refleks, kekuatan setiap kumpulan otot dan kawasan kebas. Ujian ini memberi petunjuk ruas mana yang terlibat. Scan ultrasound muskuloskeletal digunakan bila perlu untuk menyemak otot, tendon dan saraf di anggota.
Garis panduan NICE (UK) menyatakan imaging tidak perlu dibuat secara rutin bagi sakit pinggang di luar tetapan pakar. Ramai orang dewasa ada cakera membonjol pada imbasan tanpa sebarang sakit. Kami tidak membuat MRI di klinik. Jika tanda saraf berat atau tidak bertambah baik, kami menulis surat rujukan kepada pakar untuk MRI.
Rawatan saraf terhimpit tanpa pembedahan
Kebanyakan saraf terhimpit bertambah baik dalam beberapa minggu hingga beberapa bulan. Tujuan rawatan ialah mengurangkan radang, memberi ruang kepada saraf, dan menguatkan otot yang menyokong tulang belakang.
- Kekal aktif. Berjalan ringan lebih baik daripada berbaring sepanjang hari. Elak duduk lama tanpa rehat.
- Kurangkan sakit dan radang dengan Super Inductive System (SIS), laser HILT dan TENS, tanpa suntikan.
- Terapi manual untuk melonggarkan sendi dan otot yang kaku, sentiasa digabung dengan senaman.
- Senaman berperingkat: pergerakan saraf (nerve glide), senaman otot teras dan senaman yang mengurangkan sakit menjalar. Kami hantar video ke WhatsApp.
- Ubah cara kerja dan tidur: posisi duduk, cara mengangkat, bantal dan tilam.
Kami memantau kebas dan kekuatan otot pada setiap sesi. Jika ada tanda saraf semakin lemah, kami merujuk anda kepada pakar dengan segera.
Bila pembedahan dipertimbangkan?
Pembedahan biasanya tidak diperlukan. Ia dibincangkan dengan pakar jika sakit teruk tidak berkurang selepas rawatan yang mencukupi, jika otot semakin lemah, atau jika ada tanda bahaya di atas. Doktor kami akan beritahu dengan jujur jika rawatan konservatif tidak lagi sesuai.
Rawatan di Pasir Puteh dan Kota Bharu
Klinik utama kami di Pasir Puteh mempunyai semua mesin (SIS, laser HILT, shockwave) dan buka setiap hari 9.00 pagi hingga 10.30 malam. Bagi pesakit di Kota Bharu, sesi penilaian, terapi manual dan senaman boleh dibuat ikut temujanji di Klinik Etika, Jalan Dusun Muda. Baca panduan penuh di halaman rawatan kebas dan saraf, atau lihat perbezaan saraf tersepit pinggang dan slip disc.
Sciatica & piriformis: rawatan Super Inductive System
Sakit menjalar dari pinggang ke kaki, kebas dan sakit bila duduk lama boleh jadi sciatica atau piriformis syndrome. Super Inductive System di Jom Physio membantu mengurangkan sakit dan kebas, melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot.
Tanya tentang rawatan iniMaklumat pendidikan umum — tidak menggantikan pemeriksaan doktor atau fisioterapis. Hasil rawatan setiap individu berbeza.