Di jalan kampung dan jalan utama Kelantan, motosikal ialah kenderaan harian. Bila berlaku kemalangan, soalan yang kami terima di WhatsApp hampir sama: bila boleh mula physio, perlu tunggu luka kering dulu ke, dan boleh claim atau tidak. Artikel ini menjawab soalan itu satu per satu, dengan bahasa mudah.
Ringkasan
Ringkasan
Perkara utama selepas kemalangan motosikal:
- Keselamatan dahulu: pemeriksaan hospital atau klinik, dan laporan polis dalam 24 jam
- Terseliuh tanpa patah: 2 hingga 3 hari pertama rehat, ais dan balut, kemudian mula bergerak perlahan
- Patah tulang atau selepas pembedahan: fisioterapi ikut arahan doktor ortopedik
- Simpan resit, laporan doktor dan laporan polis dari hari pertama untuk claim
Langkah pertama: pastikan tiada kecederaan serius
Fisioterapi bukan rawatan kecemasan. Selepas kemalangan, pemeriksaan doktor di hospital atau klinik mesti didahulukan, terutama jika kepala terhantuk, ada luka dalam, atau anggota tidak boleh menanggung berat. Doktor akan menentukan sama ada perlu X-ray, jahitan atau rujukan pakar.
Jangan lupa urusan rasmi. Panduan tuntutan motor Bank Negara Malaysia menasihatkan laporan polis dibuat dalam tempoh 24 jam di balai polis berhampiran, dan syarikat insurans dimaklumkan dalam tempoh tujuh hari. Dokumen ini penting kemudian jika anda mahu menuntut kos rawatan.
Kecederaan biasa selepas jatuh motosikal
- Buku lali dan lutut terseliuh: kaki tersangkut atau terhentak semasa jatuh. Baca: buku lali terseliuh.
- Pergelangan tangan dan bahu: tangan secara refleks menahan badan. Ada yang retak atau patah tanpa disedari. Baca: pergelangan tangan sakit selepas jatuh.
- Tengkuk: kepala tersentak ke depan dan ke belakang. Sakit dan kaku boleh muncul beberapa jam selepas kejadian.
- Pinggang dan belakang: terhentak semasa jatuh atau semasa mengangkat motor.
- Patah tulang: biasanya pada tulang lengan, selangka, kaki atau buku lali. Rujuk fisioterapi patah tulang.
Kecederaan tisu lembut (otot, ligamen, tendon) tidak kelihatan pada X-ray. Sebab itu ramai diberitahu "tulang okay" tetapi masih sakit berminggu-minggu.
Bila boleh mula fisioterapi?
Terseliuh atau lebam otot, tiada patah
Untuk 2 hingga 3 hari pertama, garis panduan NHS menasihatkan kaedah PRICE: lindungi, rehat, ais, balut dan tinggikan anggota. Elakkan haba dan urut kuat pada tempat yang bengkak dalam tempoh ini. Selepas itu, mula gerakkan sendi secara perlahan supaya tidak kaku. Kebanyakan terseliuh ringan rasa lebih baik dalam kira-kira dua minggu. Jika masih sakit, bengkak atau tidak stabil selepas seminggu dua, itu masa yang sesuai untuk penilaian fisioterapi.
Ada patah tulang
Fisioterapi dirancang mengikut arahan doktor ortopedik. Biasanya pesakit dibenarkan menggerakkan sendi yang tidak bersimen dari awal, kemudian fisioterapi penuh selepas simen dibuka. Baca juga: lepas buka simen, kaki atau tangan kaku.
Selepas pembedahan
Selepas plat, skru atau besi dipasang, fisioterapi selalunya bermula awal dengan had pergerakan dan beban yang ditetapkan pakar bedah. Bawa surat discaj atau ringkasan pembedahan pada sesi pertama.
Apa berlaku pada sesi pertama di Jom Physio
- Sejarah kemalangan: bagaimana jatuh, anggota mana terhentak, rawatan yang sudah diterima.
- Penilaian doktor dan, jika perlu, scan ultrasound muskuloskeletal untuk melihat otot, tendon dan ligamen. Kami tiada X-ray atau MRI di klinik; jika perlu, kami rujuk.
- Ujian pergerakan dan kekuatan untuk mengenal pasti sendi yang kaku dan otot yang lemah.
- Rawatan: terapi manual, senaman berperingkat, dan jika sesuai, SIS atau laser HILT untuk mengurangkan sakit. Beritahu kami jika ada plat atau skru, kerana sesetengah mesin tidak digunakan di atas kawasan implan logam.
- Pelan: anggaran bilangan sesi dan senaman di rumah yang kami hantar ke WhatsApp.
Kesilapan biasa selepas accident motor
- Tunggu terlalu lama. Ada yang menahan sakit lutut atau bahu berbulan-bulan dengan harapan ia hilang sendiri. Sendi yang lama tidak digerakkan dengan betul menjadi kaku dan otot di sekelilingnya lemah.
- Urut kuat terlalu awal. Pada hari-hari pertama, bengkak sedang aktif. Tekanan kuat boleh menambah bengkak, dan jika ada retak yang belum dikesan, ia boleh mengganggu proses bercantum.
- Rehat sepenuhnya terlalu lama. Selepas fasa awal, pergerakan terkawal lebih membantu daripada baring berminggu-minggu.
- Abaikan kebas atau lemah. Kebas yang tidak hilang, atau tangan dan kaki yang semakin lemah, perlu diperiksa doktor dan bukan sekadar dibiarkan.
- Buang resit. Tanpa resit dan laporan, tuntutan kos rawatan menjadi sukar.
Bila boleh menunggang motor semula?
Tiada tarikh yang sama untuk semua orang. Sebelum menunggang semula, anda perlu boleh menggenggam handle dan brek dengan kuat, menoleh ke kiri dan kanan dengan selamat, menahan berat motor semasa berhenti, dan bertindak balas dengan pantas. Jika ada patah tulang, tunggu kebenaran doktor ortopedik. Dalam sesi fisioterapi, kami latih pergerakan ini secara khusus kerana bagi ramai pesakit di Kelantan, motor ialah satu-satunya cara ke tempat kerja.
Simpan dokumen dari hari pertama
Jom Physio bukan panel cashless insurans. Kaedahnya bayar dan claim: anda bayar, kami beri resit rasmi, bil terperinci dan laporan atau surat doktor untuk dihantar kepada syarikat insurans atau takaful. Liputan bergantung pada polisi masing-masing. Panduan penuh di halaman insurans dan takaful. Lihat juga cara claim kos fisioterapi selepas kemalangan.
Jika kemalangan berlaku semasa pergi atau balik kerja, ia dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO. Untuk kemalangan di luar urusan kerja, PERKESO memperkenalkan Skim LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 bagi pekerja yang mencarum. Fisioterapi panel PERKESO di Jom Physio hanya bermula dengan rujukan Pegawai Pengurus Kes PERKESO. Pesakit tidak boleh mendaftar sendiri. Lihat panel PERKESO.
Datang dari jauh?
Ramai pesakit kemalangan datang dari Bachok, Machang dan Kota Bharu. Klinik utama di Pasir Puteh buka setiap hari 9.00 pagi hingga 10.30 malam dan mempunyai semua mesin. Sesi ikut temujanji di Klinik Etika Kota Bharu menyediakan penilaian, terapi manual dan senaman sahaja. Lihat fisioterapi untuk pesakit Bachok atau panduan lengkap fisioterapi selepas kemalangan.
Pemulihan selepas kemalangan jarang selesai dalam satu sesi. Biasanya sakit dikurangkan dahulu, kemudian pergerakan dan kekuatan dibina semula supaya anda boleh kembali menunggang, bekerja dan solat dengan selesa.
Doktor periksa punca sakit bahu (ujian klinikal sebenar)
Dr Qim menunjukkan ujian klinikal bahu seperti empty can test dan ujian otot bicep pada pesakit sebenar di Jom Physio, Pasir Puteh. Daripada ujian ini, punca sakit bahu dapat dikecilkan sama ada otot, kapsul bahu, tendon atau saraf.
Tanya tentang rawatan iniMaklumat pendidikan umum — tidak menggantikan pemeriksaan doktor atau fisioterapis. Hasil rawatan setiap individu berbeza.